Individu positif Covid-19 masuk pasar raya akan dikesan

0
298
Hamzah Zainuddin

CYBERJAYA – Polis sedang mengesan individu positif Covid-19 yang didapati melanggar Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) ekoran terdapat kes pendaftaran masuk ke premis perniagaan dikesan melalui aplikasi MySejahtera.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, sebanyak 523 kes pendaftaran selepas disahkan positif Covid-19 dikesan di dalam negara dengan 18 peratus daripadanya berlaku di pasar raya.

Sebagai tindakan katanya, Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP Covid-19 (JKPS) telah meminta Kementerian Kesihatan (KKM) menyalurkan maklumat berhubung pelanggaran perintah HSO itu.

Katanya, perkongsian maklumat itu juga sebaiknya dilakukan secara masa sebenar atau real time untuk tindakan pihak polis di lapangan.

“Melalui maklumat tersebut, pihak berkuasa seperti PDRM dapat diatur gerak terus ke mana-mana lokasi yang telah dikenal pasti bagi tujuan penguatkuasaan berdasarkan undang-undang sedia ada.

“Selain itu, pihak premis yang didapati membenarkan individu yang melanggar perintah HSO memasuki premis mereka juga boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, mesyuarat JKPS pada hari ini juga telah mendengar pembentangan daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) berhubung pembukaan sektor pelancongan domestik secara berperingkat yang bermula pada 16 September lalu melalui projek rintis Gelembung Pelancongan Pulau Langkawi.

Sehubungan itu menurutnya, Op Patuh akan memberikan tumpuan khusus terhadap pelaksanaan Gelembung Pelancongan Pulau Langkawi bagi memastikan kejayaan pelaksanaan projek rintis tersebut sebelum ianya diperluaskan kepada destinasi-destinasi pelancongan yang lain.

“Sejak dilancarkan pada 25 Jun lalu, Op Patuh sehingga 23 September ini telah menjalankan sebanyak 1,843,856 pemeriksaan di seluruh negara ke atas 178,266 buah kilang, 79,974 tapak pembinaan, 1,565,649 premis perniagaan dan 24,967 asrama penginapan.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 7,410 kompaun telah dikeluarkan dan 4,440 premis telah diarah tutup,” katanya.

Hamzah berkata, mesyuarat JKPS juga memutuskan untuk meneruskan tindakan penguatkuasaan pematuhan SOP secara bersepadu melalui Op Patuh bagi memastikan tiada pihak mengambil mudah mengenai pematuhan SOP PKP ketika negara beralih ke fasa endemik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here