Institusi perbankan diarah kecualikan bayaran faedah penerima moratorium – Tengku Zafrul

0
237
Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

CYBERJAYA – Kementerian Kewangan (MOF) telah mengarahkan institusi perbankan untuk mengusahakan pengecualian bayaran faedah bagi penerima moratorium pinjaman bank dengan segera.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia akan melibatkan penerima moratorium dari kumpulan 50 peratus terbawah daripada keseluruhan rakyat Malaysia untuk sepanjang tempoh tiga bulan pada suku keempat tahun ini.

“Kita telah membuktikan keberkesanan vaksin dalam membolehkan pembukaan lebih banyak sektor-sektor ekonomi.

“Seterusnya, melalui Bajet 2022, MOF akan berusaha mempercepatkan pemulihan ekonomi menerusi penggubalan dasardasar yang mesra perniagaan dan pelaburan, serta meningkatkan lagi daya tahan negara.

“Bajet 2022 juga akan menerapkan beberapa aspek penyusunan semula yang akan menyokong objektif Rancangan Malaysia Ke-12 dalam memacu pertumbuhan yang lebih lestari, mampan dan berdaya saing.

“Fokus kepada usaha memerangi pandemik Covid-19, dan semangat muafakat rentas parti yang telah tercapai diharapkan akan membawa kembali sinar kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gambar hiasan

Dalam pada itu, katanya, keutamaan MOF adalah melindungi nyawa daripada ancaman Covid-19, dan memastikan prospek pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh, didorong oleh Pelan Pemulihan Negara dan prinsip pengurusan kewangan yang berhemah.

Pada masa sama, katanya, pihaknya juga akan terus komited dalam mengambil langkah strategik, proaktif dan tegas bagi mendepani situasi Covid-19 yang mencabar, serta menghadkan kesan yang berpanjangan ke atas ekonomi akibat krisis ini.

Sementara itu, Tengku Zafrul turut mengumumkan pada 10 September lalu, Majlis Jemaah Menteri telahpun meluluskan cadangan untuk membentangkan pindaan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) [Akta KWC].

Katanya, menerusi langkah itu had siling Kumpulan Wang Covid-19 ditingkatkan daripada RM65 bilion kepada RM110 bilion.

Selain itu, katanya, had statutori hutang kerajaan Persekutuan juga dinaikkan daripada 60 peratus kepada 65 peratus keluar kasar dalam negara (KDNK).-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here