Jabatan Kesihatan Johor sahkan pesakit bersalin sendirian di hospital

0
136
Pengarah JKNJ Datuk Dr Aman Rabu

JOHOR BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) hari ini mengesahkan kejadian wanita yang melahirkan anak secara bersendirian di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini kelmarin dan akan menyiasat kejadian itu.

Pengarah JKNJ, Datuk Dr. Aman Rabu berkata, pihaknya mendapati dakwaan wanita berusia 36 tahun yang bersalin sendiri ketika sedang dirawat sebagai pesakit Covid-19 itu berasas dan pihaknya akan melakukan penambahbaikan yang diperlukan.

“Proses bersalin berlaku di luar jangkaan…kerana berlaku enam jam lebih awal daripada tempoh jangkaan. Pesakit telah bersalin secara sendirian dan bayi didapati berada di atas katil bersama ibunya.

“Bagaimanapun, JKNJ akan menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian itu dan mengambil tindakan yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr. Aman berkata, wanita yang mengandung dengan usia kandungan 39 minggu itu hadir ke bilik saringan HSI pada pukul 5.33 pagi 23 Julai lalu dan mengakui dia adalah kontak rapat suaminya yang disahkan positif Covid-19.

Selepas diperiksa, wanita itu didapati berada di peringkat awal kelahiran dengan bukaan pangkal rahim tiga sentimeter dan kemudian dimasukkan ke bilik isolasi pada 10.18 pagi sementara menunggu keputusan Ujian Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR).

Dr. Aman berkata, wanita berkenaan kemudiannya diletakkan di dalam bilik nombor dua dewan bersalin dengan pintu sentiasa bertutup kerana dia positif Covid-19.

“Pegawai perubatan dan jururawat telah memeriksa pesakit pada 4.26 petang dan mendapati hasil keputusan PCR wanita itu positif dan perlu melahirkan secara pembedahan dengan bukaan pada ketika itu empat sentimeter serta mengalami kontraksi tidak teratur dan pesakit dipersiapkan untuk pembedahan,” katanya.

Baru-baru ini, tular menerusi Facebook hantaran wanita berkenaan yang mendakwa terpaksa melahirkan anak sendirian di dalam bilik bersalin meskipun cuba memanggil petugas kesihatan berulang kali.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here