Jurulatih Ziyad cerita insiden sebenar, tiba tepat pada waktu tapi…

0
5497
Ziyad (kiri) bersama jurulatihnya, Faizol Harun

SEPANG – Jurulatih Muhammad Ziyad Zolkefli, Faizol Harun mengambil tanggungjawab penuh terhadap kontroversi yang berlaku ke atas  jaguh lontar peluru negara itu pada Sukan Paralimpik Tokyo.

Pada masa sama, beliau turut meminta orang ramai tidak menunding jari kepada orang lain.

“Saya mohon bagi pihak yang mencari siapa yang bersalah dan tidak bersalah saya selaku jurulatih kepada Ziyad dan dekat dengannya.

“Saya bertanggungjawab atas semua yang berlaku jangan menunding jari kepada orang lain,” katanya memetik laporan Utusan Online hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Ziyad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Selasa  lalu,  Ziyad, 31, berjaya mempertahankan pingat emas bersama rekod dunia dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) dengan lontaran sejauh 17.94 meter di Tokyo.

Bagaimanapun kem Ukraine dan Greece mengemukakan bantahan terhadap Ziyad dan dua lagi atlet, Todd Hodgetts dari Australia dan Jordi Patricio dari Ecuador kerana lewat memasuki bilik menunggu sekali gus ketiga-tiga atlet itu diklasifikasikan sebagai DNS (Do Not Start).

Jelas Faizol , mereka tiba di pintu memasuki bilik menunggu tepat pada pukul 5.55 iaitu waktu panggilan tetapi tidak dibenarkan masuk sebelum membuat rayuan dan dibenarkan ketua pengadil.

“Kami sampai awal di tempat pemanas badan 4.15 minit bila sudah sampai Ziyad memanaskan badan 4.45 hingga 5.30 petang, bila sudah siap antara waktu itu hingga 5.45 kita buat persiapan untuk Ziyad termasuk menyediakan baju dan sebagainya serta ada sikit urut.

“Pada pukul 5.45 petang gerak ke bilik menunggu kerana kita sudah membuat kiraan daripada tempat panas badan ke bilik meunggu mengambil masa 8 hingga 10 minit, kalau cepat 6 hingga 5 minit.

“Di depan kita atlet Greece dengan jarak hanya dalam 4 hingga 5 meter bila sampai dia boleh masuk dan kami tidak dibenarkan masuk. Penolong pengadil menyatakan kami sudah lewat dengan menunjukkan jam digital sudah pukul 5.56.

“Kami ditahan lepas itu kita merayu dan membantah bersama Australia dan Ecuador sebelum ketua pengadil membenarkan mereka masuk ke bilik menunggu.

“Ketika itu ada jurulatih Ukraine dan Greece berada di situ dan provok penolong pengadil jika membenarkan Ziyad bertanding mereka akan melakukan protes.

“Selepas itu, saya masuk ke stadium. Namun selepas lontaran ketiga baharu pegawai memaklumkan bahawa Ziyad DNS. Saya terus merujuk kepada ketua kontinjen (Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin) dan pegawai MPM (Majlis Paralimpik Malaysia).

“Selepas menceritakan apa yang berlaku, mereka terus membuat rayuan. Kalau daripada awal mengetahui tentang perkara ini sudah tentu saya tidak akan benarkan Ziyad bertanding,” jelasnya kepada Utusan Online.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here