KDN akan kurangkan agensi dalam akses myIDENTITY

0
33
Hamzah Zainuddin

CYBERJAYA – Kerajaan akan mengurangkan jumlah agensi yang mempunyai ‘akses’ kepada platform perkongsian data myIDENTITY bagi mengurangkan risiko kebocoran maklumat peribadi rakyat negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sebagai langkah memperketatkan keselamatan, kerajaan akan menapis dan menilai semula keperluan agensi-agensi yang sebelum ini dibenarkan menggunakan data tersebut.

“Kita akan kurangkan (jumlah agensi) dari semasa ke semasa kerana hanya mereka yang benar-benar memerlukannya akan dibenarkan. Kita akan tetapkan jumlah yang dibenarkan, manakala yang lain akan minta kebenaran daripada JPN.

“Kadang-kadang kalau kita bagi kepada terlalu banyak pihak, akan ada risiko berlaku kebocoran melalui agensi tersebut,” katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Hamzah berkata, pada ketika ini terdapat 104 agensi kerajaan yang menggunakan platform berkenaan namun tidak banyak agensi yang benar-benar menggunakan data itu secara efektif.

Selain kata beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memastikan semua agensi terbabit mengambil langkah keselamatan yang tinggi dan ketat bagi mematuhi polisi penggunaan data orang ramai bagi mengelak kebocoran.

“Kita akan menjemput agensi-agensi yang diberikan kebenaran penggunaan myIDENTITY ini untuk tentukan kaedah-kaedah yang patut mereka patuhi.

“Jika tidak, kita akan tidak benarkan mereka menggunakan myIDENTITY ini,” ujarnya.

Ditanya kemungkinan kebocoran berlaku di peringkat agensi yang mendapat data itu dari JPN, Hamzah berkata kerajaan tidak pernah membenarkan agensi-agensi kita (kerajaan) untuk berkongsi dengan agensi lain namun tidak menolak kemungkinannya.

Media sebelum ini melaporkan pangkalan data milik JPN dijual di forum pasaran pangkalan data terkenal yang mendakwa berlaku kebocoran di pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Menurut portal itu, data berkenaan ditawarkan untuk jualan dengan harga 0.2 BTC (bitcoin) yang bersamaan nilai RM35,495

Hamzah berkata, susulan pendedahan mengenai perkara itu juga, satu perbincangan diadakan melalui National Cyber Security Agency (NACSA) semalam, bagi mengupas isu-isu serta kaedah perkongsian myIDENTITY dengan pihak LHDN serta kawalan keselamatannya telah dibincangkan.

Ujarnya, hasil siasatan dalaman JPN mendapati, tiada kebocoran atau perkara yang tidak diingini berlaku dalam sistem jabatan itu bahkan JPN juga mengesahkan tiada sebarang kes seperti demikian berlaku sebelum ini.

Sementara itu, KDN menyerahkan dakwaan kebocoran berlaku dari pihak LHDN itu disiasat secara terperinci oleh pihak polis dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat andaian.

“Jangan buat andaian sebab kadang-kadang ini hanyalah strategi mereka untuk menjual data,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here