Kebakaran hutan California: bomba balut pokok terbesar dunia

0
133
Pegawai perhutanan melakukan pemeriksaan di lokasi kebakaran hutan di California baru-baru ini.

CALIFORNIA – Pasukan bomba di negeri ini terpaksa menggunakan pembalut aluminium kalis api bagi menyelamatkan pokok-pokok yang berusia lebih ribuan tahun yang diancam kemusnahan akibat kebakaran hutan di Taman Negara Sequoia, Sierra Nevada.

Salah satu daripada lebih 2,000 koleksi paling bernilai di taman negara itu adalah pokok terbesar di dunia yang berusia 2,700 tahun, atau dikenali sebagai General Sherman.

Dianggarkan lebih daripada 350 anggota bomba dikerahkan ke taman nasional itu pada tengah hari ini bagi menyelamatkan ‘Muzium Sequoia’ itu.

Pihak berkuasa melaporkan api yang dipercayai berpunca daripada panahan kilat itu sudah mula merebak dan dijangka ‘meratah’ kawasan hutan pokok-pokok gergasi di situ dalam masa sejam.

BBC melaporkan, tugasan paling sukar dan kritikal anggota bomba adalah untuk membalut bahagian pangkal pokok gergasi setinggi 83 meter itu bagi melindunginya daripada kepanasan yang boleh memendekkan jangka hayatnya.

Pakar bagaimanapun mendakwa pokok daripada spesies Seqouia mempunyai daya ketahanan yang tinggi terhadap kebakaran hutan.

Kebakaran terbaharu itu dikaitkan dengan faktor cuaca, kemarau dan haba yang tinggi akibat musim panas di California.

Amerika Syarikat pada tahun ini menyaksikan lebih daripada 7,400 kebakaran hutan melibatkan kemusnahan kawasan seluas 2.2 juta ekar.

Anggota bomba memasang pembalut aluminium pada mercu tanda Taman Negara Sequoia, California yang diancam kebakaran dalam kejadian hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here