Kebenaran rentas negeri masih dipertimbangkan, rakyat kena sabar – KJ

0
17
Khairy Jamaluddin

CYBERJAYA – Rakyat diminta supaya bersabar untuk menikmati beberapa kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 termasuk aktiviti rentas negeri.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kelonggaran SOP untuk rakyat di negara ini sedang dipertimbang dan akan diputuskan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, perkara itu akan dibawa ke dalam perbincangan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) berdasarkan penilaian risiko Kementerian Kesihatan.

Justeru, kata beliau, rakyat diminta bersabar dan memberi sedikit masa untuk kerajaan membuat keputusan sewajarnya.

“Saya sudah bincang perkara ini dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan kita sedang mengemukakan beberapa cadangan. Jadi kita akan bawa ke MKN dalam masa terdekat.

“Ada harapan (rentas negeri), tetapi saya minta sabar sekejap lagi kerana ada beberapa negeri yang mana masih lagi nilai ambang vaksinasi rendah sedikit.

“Jadi akhir September ini kita menjangkakan, semua negeri akan sampai nilai ambang 60 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi. Bersabarlah, sedikit sahaja masa lagi,” katanya dalam sesi temubual bersama media, hari ini.

Kerajaan sebelum ini beberapa kali memberi gambaran untuk mengumumkan kelonggaran merentas negeri yang ditunggu-tunggu rakyat negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here