Kebenaran rentas negeri tidak termasuk dalam pengurangan SOP

0
234

CYBERJAYA – Kebenaran merentas negeri tidak termasuk dalam senarai pengurangan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kepada Bernama, hari ini.

Hishammuddin berkata, keputusan berkaitan kebenaran merentas negeri perlu diteliti oleh Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Rentas negeri ada kaitan dengan fasa-fasa dalam PPN negeri-negeri yang berkenaan.

“Tapi syor datang daripada menteri bertanggungawab untuk sektor tertentu dan kemudian dipertimbangkan di pelbagai peringkat termasuk Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Pandemik, serta dalam Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19,” kata Hishammuddin.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau Program Vaksinasi ‘Back To School’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Desa Tun Hussein Onn di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin.

Pada 14 September lepas, Hishammuddin mengumumkan kerajaan kini di peringkat akhir untuk mengurangkan SOP PPN hanya kepada 10 SOP berbanding 181 sekarang, bagi memudahkan pemahaman orang ramai.

Hishammuddin kemudiannya menambah, Mesyuarat Kedua Menteri Kuartet Covid-19 yang melibatkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz selain beliau sendiri, akan diadakan esok.

“Mesyuarat akan memberi fokus terhadap usaha mempermudahkan 181 SOP kepada 10 SOP, selain memberi tumpuan terhadap naratif menjelang fasa endemik yang bermula hujung Oktober ini,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here