Kerajaan tandatangani MoU dengan PH di Parlimen esok

0
35
Pertemuan wakil parti bagi persetujuan dalam memorandum persefahaman antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan.

CYBERJAYA – Selepas beberapa siri perbincangan, kerajaan dilaporkan bersetuju untuk menandatangai memorandum persefahaman bersama Pakatan Harapan (PH) yang dijadual berlangsung di bangunan Parlimen Malaysia, 5 petang ini (Isnin).

Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik itu dipercayai telah selesai dimuktamadkan dan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yaakob bersama ketua parti-parti PH.

Maklumat mengenai majlis itu diumumkan dalam satu kenyataan bersama parti PH dan Kerajaan Persekutuan pada Ahad.

Majlis pada pukul 5 petang esok dijangka dihadiri Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Menurut kenyataan itu, tindakan itu bertujuan untuk mengembalikan kestabilan politik dan ekonomi negara di samping mengambil langkah menangani Covid-19.

“Dengan persefahaman tersebut, tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada landskap politik yang baharu melalui inisiatif transformasi dan pembaharuan terhadap tata kelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mendedahkan sepenuhnya memorandum persefahaman ini kepada umum sebagai komitmen terhadap keterbukaan penuh dan kebertanggungjawaban,” jelasnya.

Kenyataan bersama itu melibatkan wakil kerajaan antaranya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Manakala wakil PH pula melibatkan antaranya Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here