Kerajaan tidak peduli kempen barangan buatan Malaysia

0
165
Nadzim Johan.

CYBERJAYA – Yayasan Patriot Malaysia sedia bertemu dengan persatuan-persatuan perniagaan pelbagai bangsa di negara ini untuk membincangkan usaha penyatuan kuasa ekonomi dalam mengharungi cabaran zaman pandemik Covid-19.

Pengerusinya, Datuk Nadzim Johan berkata, usaha itu bertepatan dengan tujuan penubuhan yayasan berkenaan iaitu untuk menyatukan rakyat Malaysia ke arah satu tujuan yang jelas dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat negara ini.

“Sempena signifikannya Hari Malaysia, kita perlu buat sesuatu yang luar biasa. Saya setuju usaha untuk membawa bersama rakyat Malaysia dalam satu perjuangan adalah usaha yang sangat penting ketika ini.

“Saya akan jumpa ketua dan penaung persatuan perniagaan Cina untuk bersama-sama mencari jalan untuk bangunkan peluang ekonomi,” katanya dalam ucapan sempenan Hari Malaysia di Malakat Mall, semalam.

Pada majlis itu, Pengasas Kumpulan Malakat Eco, Mohd Fadzil Hashim melancarkan ‘Pelan Tindakan Transformasi Keluarga Malaysia’ yang menyeru semua kaum di negara ini bersatu dalam usaha pemulihan ekonomi negara.

Antara produk keluaran usahawan Muslim yang akan dipasarkan dalam pasar raya Raudhah Grocer d Malakat Mall.

Nadzim yang juga Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata, usaha membawa rakyat Malaysia dalam satu perjuangan ekonomi penting kerana rakyat tidak lagi boleh berharap kepada pemimpin dalam pemulihan ekonomi yang terjejas teruk akibat Covid-19.

Bahkan katanya, golongan peniaga dan usahawan di negara ini perlu mengambil langkah sendiri demi kelangsungan perniagaan mereka khususnya dalam mempertahankan produk dan perniagaan syarikat tempatan.

“Contoh paling mudah, kita tengok pemimpin negara pun tidak pernah sedar dan tidak lagi peduli tentang kempen membeli barang-barang buatan Malaysia.

“Kita kena sedarkan rakyat Malaysia sebab kerajaan sendiri tak jalankan kempen beli barangan buatan Malaysia,” katanya.

Sepatutnya kata beliau, kerajaan perlu meningkatkan jati diri dan kesedaran orang ramai tentang kepentingan membeli barang tempatan.

“Mereka (pemimpin) pun beli barang mesti nak pergi ke London atau mana-mana yang ada kelas. Barang tempatan tak ada tempat pada mereka.

“Itulah kesilapan kita apabila kita merdeka dahulu, kita tak isi jiwa dan semangat kita dengan perkara yang boleh memperkasakan diri kita sebagai rakyat Malaysia yang merdeka.

“Sebab itu saya selalu cakap kepada kawan-kawan Cina, kalau kita bergaduh kita rugi segala-gala, kalau kita bersatu kita dapat semua,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here