Kilang tapis gas karbon dioksida mula berfungsi

0
176

REYKJAVIK, Iceland – Sebuah kilang yang mampu menapis gas karbon oksida dari udara dan menukarkannya kepada bahan mineral mula beroperasi di sini, semalam.

Kilang tersebut yang dinamakan Orca sempena perkataan ‘Orka’ yang bermaksud tenaga dalam bahasa Iceland, terdiri daripada empat unit yang dibina berasingan, kata agensi AFP.

Udara disedut menerusi pemampat ini yang kemudiannya akan menapis karbon dioksida yang disimpan dalam penapis khas.

Ia dibina hasil usahama di antara syarikat Switzerland, Climeworks dan Carbfix yang berpangkalan di Iceland, dan mampu mengeluarkan kira-kira 4,000 tan karbon dioksida dari udara setahun, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Jumlah itu bersamaan dengan emisi yang dihasilkan oleh 870 buah kereta.

Kos pembinaan bagi sebuah kilang itu memakan belanja sebanyak antara USD10 juta (RM41.49 juta) hingga ke USD15 juta (RM62.23 juta).

Kilang itu berfungsi dengan menyedut udara ke dalam sebuah pemampat, yang mempunyai penapis yang akan mengumpulkan karbon dioksida.

Setelah penuh, mesin itu akan dimatikan, manakala penapis itu akan dipanaskan bagi mengeluarkan gas yang terkumpul padanya.

Gas yang terkumpul itu kemudiannya akan dilarutkan dalam air sebelum dipam ke dalam batuan basalt pada kedalaman 1,000 meter (m) bagi menjalani proses pemineralan.

Para pendokong teori ‘penangkapan karbon’ percaya, teknologi ini mampu menjadi alat penting dalam melawan perubahan cuaca dunia.

Kadar gas karbon dioksida yang tinggi di dalam udara menjadi penyebab kepada fenomena yang dipanggil sebagai ‘kesan rumah hijau’ yang mampu memerangkap haba.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here