KKM menyasarkan nisbah katil hospital 1,000 penduduk pada kadar 2.08 pada akhir RMK-12

0
22
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR-  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan nisbah katil hospital kepada 1,000 penduduk pada kadar 2.08 pada akhir Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12). 

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, pada tahun akhir RMK-11, nisbah yang tercapai adalah 2.01 di mana bilangan katil telah meningkat daripada 55,952 katil pada tahun 2016 kepada 65,508 katil pada tahun 2020. 

Khairy berkata, bagi mencapai sasaran yang ditetapkan, KKM meneruskan inisiatif untuk menambah bilangan katil menerusi pembinaan hospital baharu dan menaik taraf hospital serta fasiliti sedia ada. 

“Tumpuan diberikan kepada kawasan di mana hospital sedia ada mempunyai kadar penggunaan katil (bed occupancy rate – BOR) yang tinggi. Faktor lain yang turut diambil kira ialah kepadatan penduduk, akses kepada perkhidmatan di hospital sedia ada dan peruntukan kewangan kerajaan.

“Selain meningkatkan bilangan katil di hospital dan fasiliti KKM, kementerian juga menggunakan pendekatan untuk mengoptimumkan bilangan katil sedia ada menerusi perkhidmatan rawatan harian  di hospital-hospital utama bagi mengurangkan keperluan terhadap katil pesakit dalam,” katanya.

Selain itu kata Khairy, pendekatan lain termasuk pelaksanaan program hospital kluster yang mana perkhidmatan kepakaran dikembangkan ke hospital tanpa pakar yang mempunyai kadar penggunaan katil yang rendah.

Khairy berkata demikian ketika menjawap soalan daripada S. Kesavan (Sungai Siput) yang meminta menteri menyatakan sasaran kerajaan untuk mencapai tahap penyediaan katil hospital yang lebih tinggi, justeru memberi kemudahan kesihatan yang lebih selesa untuk rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here