KKM rekod 265 kes varian Delta dalam negara

0
40
Dr. Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan sebanyak 265 kes varian Delta di seluruh negara dalam tempoh dua minggu dari 16 hingga 29 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, penemuan itu hasil kajian berterusan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Institute of Health and Community Medicine (IHCM).

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 178 kes varian Delta dikesan di Sarawak diikuti Pulau Pinang (31), Pahang (19) dan Selangor (11).

Tambahnya, lain-lain negeri yang dikesan dengan varian of concern (VOC) itu ialah Negeri Sembilan dengan lapan kes, Sabah (5), Perak, Johor dan Kuala Lumpur masing-masing tiga kes, Melaka (2) serta Kedah dan Perlis dengan satu kes.

“IMR telah mengenal pasti sebanyak 39 kes varian Delta (B.1.617.2), iPROMISE telah mengenal pasti sebanyak 48 kes varian Delta (B.1.617.2) manakala UNIMAS IHCM pula telah mengenal pasti sebanyak 178 kes varian Delta (B.1.617.2).

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 1,221 kes.

“Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 1,201 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI,” kata beliau menerusi Facebook lewat malam tadi.

Noor Hisham berkata, secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 978 kes varian Delta, 209 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha.

Katanya, bagi varian of interest (VOI) terdapat 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here