KKM sahkan 5 pelancong ke Langkawi positif Covid-19

0
301
Kaunter pemeriksaan kesihatan yang disediakan di pintu-pintu masuk di Langkawi

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat lima kes Covid-19 dikesan melibatkan pelacong yang hendak berkunjung ke Pulau Langkawi hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua lima kes yang telah dikesan itu merupakan kategori satu iaitu tidak bergejala.

Katanya, kes-kes itu telah diberikan perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) untuk diisolasi bagi tempoh 10 hari.

“Sejumlah 2,528 orang telah menjalani ujian RTK-Ag, dan daripada jumlah ini, sebanyak lima kes positif Covid-19 telah dikesan;

“Sejumlah enam orang telah menjalani ujian RT-PCR sendiri sebelum ke lapangan terbang, dan kesemua keputusan adalah negatif dan baki 12 orang kanak-kanak enam tahun dan ke bawah tidak menjalani ujian Covid-19 dan dibenarkan berlepas bersama keluarga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kaunter pemeriksaan kesihatan yang disediakan di pintu-pintu masuk di Langkawi

Terdahulu tular berita mengenai satu keluarga dihalang meneruskan perjalanan dari klia2 selepas salah seorang daripada mereka dikesan positif Covid-19.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menasihatkan semua pihak sentiasa mengamalkan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan mencuci tangan dengan kerap.

“Sekiranya bergejala sama ada semasa tempoh melancong atau setelah pulang dari Pulau Langkawi, segeralah dapatkan rawatan awal atau lakukan ujian kendiri bagi membendung penularan Covid-19.

“Sekiranya kita mengambil mudah kelonggaran yang diberikan, tidak mustahil situasi jangkitan menjadi lebih teruk,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, pembukaan semula Pulau Langkawi sebagai projek perintis gelembung pelancongan adalah sangat penting dalam menentukan hala tuju pembukaan destinasi gelembung pelancongan domestik yang seterusnya.

Katanya, projek rintis itu perlu dilaksanakan dengan berhati-hati bagi memastikan ianya berjalan lancar dan tidak menyebabkan berlakunya peningkatan kes serta kluster baharu.

Atas sebab itu, katanya, kerajaan perlu memastikan setiap pelancong yang akan bercuti ke Pulau Langkawi telah menerima vaksinasi lengkap, bukan merupakan kes positif Covid-19, dan bukan kontak rapat kepada kes positif.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here