Kos menunaikan haji dijangka naik

0
42
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Kos menunaikan haji dijangka meningkat oleh kerana kadar inflasi serta perkembangan terkini peraturan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi khususnya berkaitan prosedur operasi standard (SOP) susulan situasi Covid-19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, ia termasuk ujian PCR dan suntikan vaksin untuk memasuki Arab Saudi, penjarakan fizikal di dalam bas, bilik penginapan serta khemah semasa menunaikan ibadah itu.

“Bagaimanapun, Tabung Haji akan memaklumkan kos bagi musim haji 2022 apabila ia dimuktamadkan kelak,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) sama ada kos mengerjakan haji dan umrah akan meningkat dalam fasa endemik Covid-19 selain peningkatan kos yang dijangkakan.

Ahmad Marzuk berkata buat masa ini, Lembaga Tabung Haji (TH) sedang menyemak kos haji yang terkesan akibat peraturan dan cukai baharu yang telah diperkenalkan Arab Saudi termasuk caj visa haji mulai 2020 dan kenaikan kadar cukai tambahan di negara berkenaan daripada lima ke 15 peratus yang bermula Julai tahun lepas.

Sementara itu, beliau berkata, bagi musim haji 1443H/2022, TH telah memulakan persediaan dengan perancangan utamanya adalah pemilihan bakal haji yang tertakluk kepada kuota rasmi Malaysia serta beberapa kriteria pemilihan lain yang akan diumumkan Arab Saudi.

Beliau menambah, keutamaan menunaikan haji pada tahun depan akan diberi kepada mereka yang tahun giliran adalah pada 1441H/2020 dan masih tertangguh.

“Bagi bakal haji yang tahun giliran mereka adalah tahun ini, mereka akan turut diberi peluang pada 2022 tertakluk kepada kekosongan kuota tahun semasa,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here