Lelaki OKU ditahan selepas pecah mesin ATM

0
33
Afzanizar Ahmad

BANDA HILIR – Seorang lelaki berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) ditahan polis selepas memecahkan mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Jalan Munshi, pada 24 September lalu.

Penahanan suspek berusia 43 tahun itu dibuat susulan aduan diterima daripada pengawal keselamatan bank yang memaklumkan salah sebuah mesin ATM rosak pada tempat pengeluaran wang dipercayai dihentak dengan objek keras.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) mengesan perbuatan itu dilakukan oleh
seorang lelaki dengan menggunakan tukul besi pada pukul 4 hingga 5 pagi hari yang sama.

“Hasil semakan CCTV mendapati seorang lelaki Melayu telah memecahkan penutup bahagian pengeluaran wang menggunakan tukul.

“Tapi tak ada wang tunai berjaya dicuri. Hanya berlaku kerosakan pada bahagian pengeluaran wang mesin ATM itu dan juga kamera CCTV yang berada di mesin ATM berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah hari ini..

Siasatan rekod lampau juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta memegang kad OKU kerana masalah psikiatri.

“Suspek merupakan seorang penganggur dan mempunyai tiga rekod jenayah dadah, hasil saringan urin dia didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Daripada tangkapan di rumahnya, kita jumpa semula tukul yang dipercayai digunakannya ketika melakukan jenayah berkenaan dan kita dapati hanya berseorangan,” katanya lagi.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,”katanya.

Beliau berkata, suspek direman empat hari bermula 25 September hingga esok bagi membantu sisatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here