MAH nasihat pelancong ke Langkawi pilih hotel berlesen, berdaftar

0
80

Pulau Langkawi dipilih untuk menjadi projek perintis gelembung pelancongan yang bermula 16 September 2021

CYBERJAYA – Sebanyak 29 hotel di Pulau Langkawi yang berdaftar bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersedia untuk menyambut kedatangan pelancong yang berkunjung ke pulau legenda itu bermula esok.

Menurut Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Datuk N. Subramaniam, daripada senarai tersebut 13 hotel pula telah mendapat pensijilan “Clean & Safe Malaysia” MAH, manakala selainnya sedang di dalam proses pensijilan.

“13 hotel berkenaan Bella Vista Waterfront Langkawi Hotel; Dash Resort Langkawi; Dayang Bay Serviced Apartment & Resort; Holiday Villa Beach Resort & Spa Langkawi; Nadias Hotel Pelangi Beach Resort & Spa dan St. Regis Langkawi Hotel.

“The Danna Langkawi; The Westin Langkawi Resort & Spa; Tanjung Rhu Resort, Langkawi; Tengah Resort Sdn Bhd (Aloft Langkawi Pantai Tengah); The Datai Langkawi dan Vivanta By Taj – Rebak Island Langkawi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Subramaniam, orang ramai diingatkan untuk membuat tempahan penginapan dengan hotel yang bukan sahaja berlesen dan berdaftar dengan MOTAC, tetapi juga yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta mengutamakan kebersihan dan keselamatan.

Sebahagian daripada penumpang yang menggunakan perkhidmatan feri penumpang dari Kuala Kedah ke Pulau Langkawi di Jeti Kuala Kedah

Pada masa sama, katanya, orang ramai juga dinasihatkan untuk terus mematuhi SOP walaupun berkunjung ke pulau peranginan itu melalui gelembung pelancongan yang disediakan.

“Menjadi tanggungjawab sosial setiap pengunjung yang bakal berada di Langkawi bermula Khamis ini, untuk tidak mengabaikan SOP yang ditetapkan bagi membendung penularan Covid-19.

“Semoga dengan pembukaan ini dapat membantu proses pemulihan sektor pelancongan, demi kelancaran dan kesinambungan pengoperasian hotel-hotel di Malaysia,” ujarnya.

Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Pulau Langkawi akan dijadikan projek perintis untuk gelembung pelancongan khusus untuk pelancong domestik.

Selain perlu mematuhi SOP yang ketat, pelancong juga perlu mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan, termasuk bukti tempahan dan bayaran penginapan dengan hotel yang berdaftar dengan MOTAC sahaja.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here