Mahkamah Belanda putuskan pemandu Uber bukan kontraktor bebas

0
21
GAMBAR HIASAN

AMSTERDAM – Mahkamah Belanda memutuskan bahawa pemandu Uber bukanlah kontraktor bebas tetapi pekerja yang turut mempunyai hak, dan Uber perlu mematuhi undang-undang buruh seperti yang ditetapkan.

Menurut Reuters, keputusan itu dicapai oleh Mahkamah Daerah Amsterdam dalam satu kes yang dibentangkan oleh Gabungan Kesatuan Sekerja Belanda (FNV).

Mahkamah turut memerintahkan Uber supaya membayar denda sebanyak 50,000 euros (RM244,359.65) kerana gagal melaksanakan syarat-syarat perjanjian buruh bagi pemandu teksi.

FNV menganggap ini merupakan satu ‘kemenangan besar’ kepada para pekerja yang mengambil bahagian dalam ekonomi gig, selepas keputusan yang sama dicapai di mahkamah Britain.

Uber dalam satu kenyataan bagaimanapun berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan kerana mereka “tidak bercadang untuk menggaji pemandu di Belanda”.

“Kami agak kecewa dengan keputusan ini kerana kami tahu ramai pemandu yang mahukan kebebasan ketika membawa penumpang.

“Antara kebebasan yang merek mahukan adalah untuk memilih bila dan dan di mana mereka mengambil dan menghantar penumpang,” kata Pengarah Urusan Uber sektor Eropah Utara, Maurits Schönfeld.

Mahkamah dalam kenyataan penghakiman menyebut, pemandu yang membawa penumpang menggunakan aplikasi Uber adalah terikat dengan perjanjian kolektif undang-undang buruh bagi pengangkutan teksi.

“Hubungan undang-undang antara Uber dan pemandu ini memenuhi semua ciri kontrak pekerjaan,” kata kenyataan penghakiman itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here