Masyarakat perlu main peranan cegah kes bunuh diri

0
43

CYBERJAYA – Masyarakat Malaysia perlu membuang stigma negatif terhadap keluarga serta individu yang mengalami masalah mental dan tidak menghakimi kejadian bunuh diri yang berlaku.

Kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia, masyarakat perlu memainkan peranan bersama bagi mengenal pasti simptom awal kemurungan dan tingkah laku bunuh diri dalam kalangan orang yang disayangi terutamanya dalam situasi Covid-19.

“Sekiranya kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ia berisiko untuk tingkah laku bunuh diri.

“Tingkah laku bunuh diri meliputi idea bunuh diri (suicidal ideation), rancangan bunuh diri (suicidal plan), cubaan bunuh diri (suicide attempt) dan kematian akibat tindakan bunuh diri,” kata Dr. Noor Hisham dalam satu kenyataan sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia, hari ini.

Tema tahun ini adalah ‘Bertindak Segera, Harapan Terbina’ bertujuan untuk meningkatkan keyakinan masyarakat bagi memainkan peranan penting dalam mencegah insiden bunuh diri dan menghapuskan stigma berkaitan tingkah laku bunuh diri.

Antara faktor sosial yang menyebabkan stres terlampau antaranya adalah hilang pekerjaan atau sumber pendapatan, dan isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai yang boleh memberi kesan kepada sesetengah individu yang berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan.

Sehingga Julai tahun ini, sejumlah 638 kes bunuh diri dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berbanding 262 kes bagi tempoh sama pada 2020 iaitu peningkatan sebanyak 143 peratus atau 1.4 kali lebih banyak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here