Mayat anggota TDM yang lemas di Sungai Pahang telah ditemukan pagi tadi

0
59
Mayat mangsa ditemukan orang kampung 70 kilometer dari lokasi kejadian

CYBERJAYA – Mayat anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang lemas ketika menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang di Kawasan Am, Bera, Pahang Ahad lalu telah ditemukan.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan jasad Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa pada pukul 8.15 pagi tadi.

“Jasad Allahyarham yang merupakan anggota Tinjau dari pasukan Kompeni PANDURA (Para) telah ditemui oleh orang awam di kawasan Kampung Serengkam, Maran, Pahang kira-kira 70 Kilometer dari lokasi kejadian.

“TDM merakamkan penghargaan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 2 Pahang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), penduduk kampung serta agensi yang telah membantu secara langsung dan tidak langsung dalam melaksanakan Operasi Mencari dan Menyelamat,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, TDM turut menzahirkan ucapan takziah buat isteri Allahyarham iaitu Nor Aqila Syafiqa Safuan serta seluruh ahli keluarganya malah akan menghulurkan bantuan sewajarnya dari segala aspek dalam memastikan kebajikan keluarga tersebut.

“Perkembangan berkenaan pengurusan jenazah Allahyarham akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“TDM turut berharap agar masyarakat tidak menyebarkan gambar-gambar penemuan jasad Allahyarham bagi menjaga perasaan waris mangsa yang terlibat,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang anggota tentera yang terlibat dalam latihan Eksesais Para Predator di pesisir Sungai Pahang berhampiran Kampung Batu Bor di sini dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Pahang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here