Menyauk ikan ‘eksotik’ di Cyberjaya

0
1415
Ahmad Aiman menangguk ikan di aliran anak sungai di Cyberjaya, Selangor.

MEMELIHARA ikan boleh dikatakan antara hobi paling popular di negara ini, tidak kira di bandar atau pun desa. Kajian sains juga membuktikan hobi ini menjadi terapi yang baik untuk mengurangkan stres.

Namun permintaan yang tinggi terhadap jenis-jenis ikan sejak penularan pandemik Covid-19 menyaksikan harga ikan peliharaan melonjak di pasaran, sama kes seperti pokok-pokok hiasan.

Tapi hobi membela ikan sebenarnya boleh dilakukan tanpa ‘pelaburan’ yang terlalu tinggi jika tahu caranya dan yang lebih penting, sanggup untuk menempuh cabarannya.

Kali ini Malakat Tribune menemui Ahmad Aiman Mohd Azmi, seorang remaja berusia 19 tahun yang ‘obses’ mencari ikan-ikan air tawar di habitat asalnya.

Selepas menetapkan temu janji, penulis bertemu dengan Aiman yang ‘turun’ bersendirian untuk menyauk ikan di kawasan hutan paya gambut di Cyberjaya.

“Mana kamu tahu tempat macam ni Aiman?,” soalan pertama penulis.

“Cari-cari sendiri macam tu jer. Cuba masuk kalau ada nasib jumpalah anak sungai atau paya,” jawab anak sulong daripada tiga beradik itu.

Kawasan berpaya berhampiran Universiti Limkokwing itu sememangnya agak terpencil dan tidak mungkin diketahui umum, dan semestinya agak menyeramkan.

“Biasanya kamu masuk dengan siapa?,” tanya saya lagi.

“Seorang diri jer, kalau adik nak ikut adalah dia,” jawapnya ringkas.

Ahmad Aiman Mohd Azmi
Ahmad Aiman memeriksa penyauk yang digunakan untuk menangkap ikan.

Dari tepi jalan utama, perjalanan masuk ke kawasan itu mengambil masa kira-kira setengah jam termasuk melintasi sebatang anak sungai cetek.

Kawasannya seperti tidak pernah dimasuki orang. Mata saya melilau memastikan semak dan denai yang dilalui selamat.Risau kalau-kalau terserempak dengan ular.

Sebaik sampai di lokasi, Aiman mengambil sauk dan memulakan aktiviti kegemarannya. Beberapa ekor ikan halus masuk ke sauk Aiman termasuk seekor lintah.

“Kat sini ada beberapa spesies macam ikan karin, sepat, kepala putih atau timah, keli dan haruan. Di anak sungai yang kita lintas tadi ada ketutu dan talapia,” katanya.

Aiman berkata, minat pada ikan bermula sejak kecil daripada buku-buku mengenai ikan, milik bapanya Mohd Azmi Ambak yang merupakan seorang pensyarah di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

“Ayah memang dalam bidang biologi marin di UMT, dia banyak buat kajian mengenai ikan air tawar dan pernah menulis buku mengenai topik itu.

“Saya mula minat pada ikan selepas kerap menemani bapa melakukan kajian mengenai ikan air tawar,” katanya akan melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan enjin pesawat di Institut Penerbangan Moscow tidak lama lagi.

Bagaimanapun kata Aiman, dia kehilangan ‘padang permainan’ selepas keluarganya berpindah dari Terengganu ke Cyberjaya beberapa tahun lalu.

Salah satu daripada puluhan akuarium milik Ahmad Aiman di kediamannya di Cyberjaya.

“Tapi disebabkan minat menyauk ikan, saya tetap keluar mencari kalau ada anak-anak sungai atau kawasan berpaya, sebab saya tahu kawasan ini dahulunya kawasan hutan paya gambut, jadi saya fikir mesti ada lagi aliran sungainya,” katanya.

Bagi Aiman, tangkapan beberapa ekor ikan kecil sudah cukup untuk membuatkan hatinya puas, terutama jika dapat menangkap spesies yang masih belum dimiliki.

Bukan sekadar penghias akuarium, setiap ikan yang ditangkap direkodkan identifikasinya melalui buku dan Internet sebagai rujukan.

“Saya paling minat ikan laga sebab ada banyak spesies, kalau tidak silap saya 26 spesies di negara ini.

“Saya tidak memilih ikan-ikan yang cantik sahaja sebab saya rasa semua ikan air tawar di negara ini ada keunikan dan nilai ekositk yang tersendiri.

“Setakat ini bila masuk ke akuarium, saya rasa semuanya nampak cantik,” katanya yang memiliki berpuluh-puluh akuarium di rumahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here