MoU kerajaan dengan PH simbol kemenangan untuk semua

0
27
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

CYBERJAYA – Memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai oleh kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) semalam adalah kemenangan kepada akyat Malaysia tanpa mengira usia, bangsa, agama atau pegangan politik.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dalam usaha itu, kumpulan yang kalah adalah mereka yang mahu terus melihat Covid-19 melunturkan semangat Keluarga Malaysia.

“Hari ini (semalam), sejarah tercipta di mana sebuah Memorandum Persefahaman dwi-partisan telah ditandatangani oleh parti-parti politik utama di Malaysia.

“Setelah perbincangan mendalam, semua pihak bersetuju untuk mengetepikan cita-cita peribadi dan mengutamakan kesejahteraan rakyat.

“Memorandum ini sejajar dengan aspirasi Kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang komited untuk melaksanakan transformasi dan mengamalkan keterangkuman demi #KeluargaMalaysia,” katanya dalam kenyataan dimuat dalam Facebooknya.

Semalam, politik tanah air mencatat sejarah apabila julung kalinya antara Kerajaan Persekutuan dan PH memeterai MoU Tranformasi dan Kestabilan Politik bagi membentuk satu kerjasama dwi-partisan yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah.

Tengku Zafrul berkata, memorandum itu juga tidak bermaksud kerajaan berkuasa mutlak untuk memerintah sesuka hati sebaliknya akan digunakan untuk memastikan semua ahli politik dapat menggembleng buah fikiran untuk membendung wabak Covid-19.

“Alhamdulillah, pimpinan Pakatan Harapan menyambut baik inisiatif Kerajaan yang dibuat demi rakyat ini untuk bersama mengatasi cabaran yang sedang melanda negara ketika ini.

“Ini adalah titik permulaan baharu untuk kita sama-sama menghadapi cabaran yang besar ini,” katanya.

Dalam pada itu katanya, transformasi jangka panjang yang dipersetujui dalam memorandum itu juga diharap akan mewujudkan landskap politik yang lebih memanfaatkan rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here