Ong Kim Swee letak jawatan di FAM, terima tawaran Sabah FC

0
184
Datuk Ong Kim Swee

CYBERJAYA – Bekas jurulatih skuad Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee meletakkan jawatan sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurut Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar, Kim Swee berbuat demikian selepas menerima tawaran sebagai ketua jurulatih Sabah FC yang baharu.

“Surat peletakan jawatan itu diserahkan Kim Swee kepada Setiausaha Agung FAM, hari ini dan pihak pengurusan FAM telah menerima peletakan jawatan tersebut, seterusnya mencapai persetujuan bersama untuk melepaskan beliau ke jawatan baharunya itu berkuat kuasa 1 Oktober ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, Kim Swee yang bakal mencecah usia 51 tahun pada 11 Disember depan telah berkhidmat bersama FAM selama 14 tahun bermula dari tahun 2007.

Katanya, jurulatih itu telah memegang pelbagai jawatan dalam tempoh itu iaitu ketua jurulatih skuad B-16 kebangsaan, skuad B-17 kebangsaan, skuad Harimau Muda, skuad B-23 kebangsaan, skuad kebangsaan, Ketua Unit Belia dan terakhir sebagai Pengarah Teknikal.

Antara kejayaan Kim Swee sepanjang bersama FAM ialah membimbing pasukannya muncul juara Piala Belia 2007, naib juara Piala Belia 2008, juara Liga Premier 2009, pingat emas Sukan SEA 2011, juara Pestabola Merdeka 2013, pingat perak Sukan SEA 2017, suku akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 dan layak ke peringkat kalah mati pada Sukan Asia 2018.

“FAM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Kim Swee atas khidmat dan jasanya sepanjang bersama FAM dan mendoakan agar beliau berjaya dengan karier baharunya bersama Sabah FC,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here