Padah serang pengawal keselamatan, lelaki didakwa membunuh

0
434

Gambar hiasan

IPOH – Pertuduhan terhadap ahli perniagaan yang menyerang seorang pengawal keselamatan pada tahun lalu ditukar kepada pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.

Tertuduh, Ahmad Noor Azhar Muhammad, 33, sebelum ini didakwa di bawah Seksyen 335 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan cedera parah atas bangkitan marah.

Pertuduhan pada Januari lalu itu bagaimanapun ditukar di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan berikutan mangsa S Thava Sagayam, 64, yang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) meninggal dunia pada 27 Ogos lalu.

Dalam pertuduhan baharu di hadapan Majistret Noor Azreen Liyana Mohd Darus hari ini, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh Thava Sagayam di tingkat 7, Menara Majestic, Jalan CM Yusuff, di sini antara jam 8 pagi sehingga 9.30 pagi pada 29 Disember 2020.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi manakala tertuduh diwakili peguam Ariff Azami Hussein.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Oktober ini sebagai sebutan semula kes.

Thava Sagayam meninggal dunia pada 27 Ogos lalu selepas terlantar sakit akibat kecederaan di kepala.

Tertuduh melakukan serangan selepas tidak berpuas hati apabila pengawal keselamatan itu menghalang anak lelakinya daripada menggunakan kolam renang di kondominium ditutup kepada penghuni sejak 29 Disember tahun lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here