Panggilan penyamaran pegawai kerajaan libat kerugian RM57 juta

0
8
Mohd Kamarudin Md Din. Foto PDRM

KUALA LUMPUR Polis merekodkan sebanyak 1,421 kes penyamaran sebagai pegawai kerajaan menerusi panggilan telefon di seluruh negara dalam tempoh Januari hingga 15 September tahun ini, melibatkan kerugian RM57 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sindiket itu akan menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai pegawai polis atau pegawai dari agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri, mahkamah, Jabatan Kastam atau Kementerian Kesihatan untuk memaklumkan penglibatan mangsa dalam siasatan kes jenayah.

“Mangsa yang percaya dengan dakwaan itu akan diarah untuk menyerahkan maklumat perbankan seperti kata laluan pengguna, nombor kad ATM dan nombor TAC kepada sindiket dengan alasan untuk siasatan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya akan diarahkan untuk memindahkan wang ke akaun pihak ketiga (keldai akaun) yang kononnya akan dikembalikan selepas beberapa hari, namun mangsa menyedari tertipu selepas gagal menerima wang itu semula.

Mohd Kamarudin berkata, pihak berkuasa khususnya polis, tidak akan berurusan menerusi panggilan telefon terutamanya berkaitan perkara-perkara yang melibatkan jabatan kerajaan.

“PDRM hanya akan berhubung melalui telefon untuk membuat janji temu dan urusan lanjut di pejabat kerajaan yang berkaitan, serta tidak akan meminta sebarang maklumat peribadi seperti kata laluan perbankan atau jumlah wang di dalam bank melalui panggilan telefon,” katanya.

Beliau berkata dalam usaha mencegah kes seperti terus berlaku, polis menggesa orang ramai agar lebih berhati-hati ketika berurusan menerusi panggilan telefon dan diingatkan untuk tidak berkongsi maklumat kewangan atau perbankan kepada mana-mana pihak.

Orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-2610559/1599 untuk sebarang pertanyaan, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here