
CONAKRY, Guinea – Pasukan unit elit tentera Guinea mengumumkan bahawa mereka berjaya menggulingkan kerajaan pimpinan presiden, Alpha Condé, semalam.
Pihak tersebut turut mengumumkan penguatkuasaan perintah berkurung sehingga diberitahu kelak.

“Kami bertanggung jawab terhadap halatuju kami sendiri.
“Kami tidak akan memberi kuasa politik kepada satu orang lagi, ia akan dipulangkan kepada rakyat,” kata pegawai memerintah unit tersebut, Kolonel Mamadi Doumbouya.
Condé,82, yang memegang tampuk pemerintahan sejak 2010, dilaporkan sedang ditahan di sebuah lokasi yang dirahsiakan.
Kolonel Mamadi turut memberitahu, kabinet kerajaan akan dipanggil bersidang pada hari ini.
“Keengganan untuk hadir akan dianggap sebagai satu pemberontakan,” katanya lagi.
Dalam ucapan yang sama Kolonel Mamadi turut mengecam golongan elit dan menuduh mereka mengkorupkan negara.