PDRM siasat portal dedah maklumat pegawai SPRM

0
127
Abd. Jalil Hassan

CYBERJAYA – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat pemilik sebuah portal berhubung pendedahan maklumat mengenai tiga pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa mencuri wang tunai bernilai jutaan ringgit.

Menurut Bernama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat berkaitan daripada pemilik portal berkenaan bagi membantu siasatan.

“Sehingga hari ini, saya ingin menyatakan pihak saya masih tidak menerima sebarang laporan berhubung kes berkenaan yang ditularkan di media sosial.

“Saya ingin menasihatkan kepada orang ramai agar perkara yang belum tentu sahih, jangan ditularkan dan jika ia melibatkan jabatan yang lain mohon tuan-tuan merujuk kepada jabatan berkenaan,” kata Abd. Jalil dalam satu sidang akhbar di Rawang, hari ini.

Semalam, SPRM mengesahkan tiga pegawai kanannya ditahan bagi membantu siasatan terbabit dakwaan salah guna kuasa serta penyelewengan dalam urusan kes seorang bekas ketua jabatan suruhanjaya itu.

SPRM turut memaklumkan suruhanjaya itu akan membuat siasatan secara menyeluruh dan berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu kerana akan menjejaskan siasatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here