Pegawai Kedutaan Malaysia di Mesir kritikal bertarung Covid-19

0
3526

CYBERJAYA – Seorang pegawai Kedutaan Malaysia di Mesir yang dijangkiti Covid-19 kira-kira dua minggu lalu kini dirawat menggunakan alat bantuan pernafasan dan menjalani prosedur intubasi (ditidurkan) di sebuah hospital di Kaherah.

Kes ialah Zainal Zainuddin, 60, yang bertugas sebagai Setiausaha Pertama (Konsular) di kedutaan tersebut dan dilaporkan positif pada 8 September lalu.

Sumber Malakat Tribune di kedutaan itu memaklumkan, kes mula dimasukkan ke hospital selepas mengalami simptom demam, batuk, lemah badan dan susah bernafas dan hasil saringan mendapati beliau positif Covid-19.


“Kes masih positif selepas hari ketujuh dan selepas hari ke 11 baru-baru ini, dia dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) ekoran pelbagai komplikasi termasuk gangguan fungsi buah pinggang dan degupan jantung tidak normal.


“Menurut laporan doktor, Haji Zainal merupakan golongan berisiko kerana ada masalah tekanan darah tinggi dan pernah menjalani pembedahan jantung,” menurut sumber dari kedutaan itu hari ini.

Katanya, kes merupakan salah seorang daripada petugas barisan hadapan yang terlibat menguruskan urusan-urusan rasmi kedutaan termasuk berkaitan komuniti Malaysia di negara itu.

“Setakat ini kami tidak tahu dari mana punca jangkitan, tetapi semua kakitangan di kedutaan juga bertugas seperti frontliner kerana berdepan dengan banyak pihak.


“Buat masa ini kami seluruh warga Kedutaan Malaysia di Mesir hanya mampu mendoakan yang terbaik untuk Encik Haji Zainal dan berharap beliau diberikan kesembuhan segera,” katanya.


Zainal yang pernah bertugas di pejabat kedutaan di Yemen, London dan beberapa lagi negara itu sepatutnya menamatkan perkhidmatan (bersara) pada November ini dan pulang ke Malaysia.


Dimaklumkan juga, isteri kes yang tinggal bersama anak-anak di Malaysia akan terbang ke Kaherah dalam masa terdekat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here