Pelajar berumur 16 dan 17 tahun di Pahang akan divaksin bermula Isnin ini

0
23
Antara penerima vaksin COVID-19 menerima suntikan vaksin sempena Program Vaksinasi Bergerak.

KUANTAN – Program vaksinasi Covid-19 kepada pelajar berumur 16 dan 17 tahun di Pahang akan bermula 20 September ini.

 Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, ketika ini Jabatan Kesihatan Pahang (JKNP) juga sedang melakukan penyelarasan.

Katanya, penyelarasan berhubung pemberian vaksin berkenaan sedang dilakukan antara JKNP danJabatan Pendidikan Pahang.

“Pemberian vaksin kepada golongan remaja di Pahang, bermula pada Rabu lalu (15 September) di lima hospital utama membabitkan remaja yang mempunyai penyakit.

“Hospital terbabit ialah Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh, Hospital Pekan, Hospital Lipis dan Hospital Bentong. 

“Setakat semalam, seramai 960,126 orang atau 81.7 peratus penduduk dewasa Pahang berjaya disuntik sekurang-kurangnya satu dos manakala 691,258 orang atau 58.8 peratus sudah lengkap vaksinasi,” katanya di laman Facebooknya.

Dr Nor Azimi berkata, 26,048 orang lagi sudah berdaftar dan kini sedang menunggu untuk mendapatkan suntikan vaksin masing-masing. 

“Namun masih ada seramai 189,626 orang atau 16.1 peratus yang masih belum berdaftar (untuk mendapatkan vaksin). Berdasarkan bekalan vaksin yang sangat baik, kita menyasarkan 100 peratus populasi dewasa berjaya disuntik satu dos menjelang akhir bulan ini,” katanya.

Menurut beliau berdasarkan prestasi sekarang, sasaran mungkin lambat untuk dicapai dan pelbagai strategi telah disusun di semua daerah bagi merancakkan proses vaksinasi termasuk melaksanakan pogram outreach di hampir semua ceruk kampung.

“Strategi walk in juga telah dan sedang diadakan di semua daerah. Namun kehadiran untuk suntikan dos pertama masih tidak mencapai sasaran. Peluang dan ruang untuk mendapat suntikan terbuka luas,” katanya menambah kematian akibat Covid-19 sangat menyayat hati dengan sebahagian besar membabitkan individu yang belum divaksin.

Sehubungan itu, Dr Nor Azimi berharap penduduk Pahang yang masih belum menerima suntikan vaksin agar ‘menyambut peluang’ yang ada sekali gus dapat mengurangkan tahap keseriusan jangkitan dan kematian akibat virus Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here