Pelancong ke Langkawi berpeluang terima diskaun e-baucar sehingga RM100

0
49
Pelancong ke Langkawi berpeluang menebus e-baucar bernilai RM50 hingga RM100

CYBERJAYA – Tourism Malaysia dengan kerjasama Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Shopee menawarkan diskaun e-baucar bernilai sehingga RM100 untuk pelancong yang menempah mana-mana hotel di Pulau Langkawi sempena pembukaan semula sektor pelancongan dalam negara bermula semalam.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab berkata, menerusi program itu, pelancong yang bermalam selama dua hari dan satu malam di mana-mana hotel bertaraf satu hingga tiga bintang boleh menebus e-baucar sebanyak RM50.

Katanya, bagi pelancong yang menginap untuk tempoh yang sama di hotel bertaraf empat hingga lima bintang boleh menebus e-baucar bernilai RM100.

“Pengumuman oleh kerajaan mengenai pembukaan semula sektor pelancongan untuk pelancong tempatan dalam gelembung pelancongan adalah sangat ditunggu-tunggu.

“Kempen Jom Cuti-Cuti Malaysia merupakan salah stau usaha untuk menggalakkan rakyat Malaysia untuk kembali yakin melancong dengan mengambil langkah-langkah pengawasan yang ketat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksektuif MAH, Yap Lip Seng berkata, kempen tersebut merupakan satu inisatif kepada rakyat Malaysia untuk bersama-sama melancong dalam keadaan norma baharu.

“Melalui pembukaan semula gelembung pelancongan ini, semua pihak terlibat telah mengambi langkah-langkah yang sepatutnya.

“Pada masa sama, pengiktirafan melalui sijil “Clean & Safe Malaysia” oleh MAH juga merupakan jaminan tambahan untuk mengalu-alukan pelancong ke destinasi percutian,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Shopee Malaysia, Kenneth Soh berkata, bagi memudahkan pelacong menempah hotel di Pulau Langkawi, pihaknya turut menyediakan tawaran menarik kepada orang ramai.

Katanya, orang ramai boleh melayari laman sesawang https://shopee.com.my/m/jom-cuti-cuti-malaysia untuk mendapatkan tawaran menarik berkenaan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here