Pemandu lori rempuh kereta positif dadah, pemandu Myvi kuning cedera ringan

0
107
Keadaan kereta Myvi berwarna kuning yang remuk teruk dirempuh sebuah lori hari ini

KUALA LUMPUR – Pemandu lori yang merempuh lima kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh, di sini hari ini didapati positif dadah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, dalam kejadian pukul 2.40 petang itu lori yang dipandu lelaki berusia 25 tahun itu dari arah Jalan Duta menghala ke Sentul.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, lori terbabit gagal dikawal dan merempuh dengan laju lima kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat

“Hasil ujian awal alkohol dilakukan mendapati pemandu tidak dalam pengaruh alkohol.

“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk ujian menjalani ujian saringan awal air kencing yang didapati positif dadah jenis methamphetamin dan amphetamin,” katanya dalam kenyataan satu hari ini.

Keadaan kenderaan yang dirempuh sebuah lori sebentar tadi

Sarifudin berkata, lima kenderaan yang terlibat adalah dua Perodua Myvi, Proton X70, Honda HRV dan Peugeot 208 FL.

“Pemandu sebuah daripada Perodua Myvi berkenaan yang berusia 45 tahun hanya mengalami cedera ringan di bahagian muka dan mendapatkan rawatan di zon hijau Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Pemandu empat kenderaan lain dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan mereka sudah mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan pulang,” katanya.

Beliau berkata, pemandu lori berkenaan juga dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here