Pemandu lori terbabas hampir rempuh kenderaan lain didapati positif syabu

0
58
Keadaan sebuah lori yang terbalik selepas terbabas di NKVE semalam

SHAH ALAM – Pemandu sebuah lori yang hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer (KM) 10.9 Lebuh Raya Baru Lembah Kelang (NKVE) di sini semalam didapati memandu di bawah pengaruh syabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay anak Embol berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi semalam dengan lori tersebut dalam perjalanan ke Subang.

Katanya, pemandu lori berusia 33 tahun itu kemudian telah hilang kawalan secara tiba-tiba yang dipercayai tertidur lalu gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas.

“Selang beberapa minit, sebuah motosikal ditunggangi seorang lelaki dari arah sama gagal mengelak dan terlanggar lori tersebut.

“Ujian saringan air kencing pemandu lori itu didapati positif methaphetamine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Ramsay menegaskan, suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman hari ini.

Tambah beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Bagi kesalahan trafik pula, kes disiasat mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan semasa dibawah pengaruh dadah.

“Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-31215697,” jelasnya.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi dua minit 54 saat memaparkan sebuah lori dari lorong kanan di NKVE secara tiba-tiba hilang kawalan dan terhuyung-hayang sebanyak tiga kali sebelum terbabas.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here