Pemandu Triton lawan arus positif ganja

0
47
KEMALANGAN melibat pacuan empat roda dengan Proton Wira di Lebuhraya Persekutuan 1.30 pagi tadi.

CYBERJAYA – Pemandu pacuan empat roda yang melawan arus sehingga menyebabkan dua maut di Kilometer 8.5 dan 8.6 Lebuhraya Persekutuan dari arah Klang ke Kuala Lumpur, dekat sini kira-kira jam 1.30 pagi tadi, disahkan positif dadah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, hasil saringan awal ujian air kencing ke atas pemandu berusia 24 tahun itu mendapati suspek positif ganja.

“Suspek dibawa polis dari tempat kejadian ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk tindakan lanjut, kemudian dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman.

“Mahkamah Majistret Shah Alam membenarkan reman ke atas suspek selama enam hari bermula hari ini sehingga 17 September ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baharudin berkata, siasatan awal mendapati Mitsubishi Triton yang dipandu suspek secara melawan arus itu datang dari Kuala Lumpur ke Klang sebelum bertembung Proton Wira dari Klang ke Kuala Lumpur.

“Dua mangsa yang maut ialah pemandu wanita berumur 18 tahun dan penumpang lelaki berumur 19 tahun.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat.

“Setakat ini, kemungkinan mangsa adalah rakan kerana waris juga tidak dapat beri pengesahan. “Kedua-dua mangsa dari arah Klang dan polis tidak pasti ke mana tujuan mangsa,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau merbahaya.

“Saksi yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 01131215697,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here