Pembela tolak usaha iktiraf UEC

0
83
Aminuddin Yahaya we

CYBERJAYA – Pertubuhan Pembela-pembela Islam (Pembela) tetap bertegas menolak sebarang usaha untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dalam sistem pendidikan negara.

Menurut Pengerusinya, Amunuddin Yahaya, langkah itu jelas bertentangan dengan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta 556 Pendidikan Negara dan Dasar Bahasa Kebangsaan.

Katanya, UEC membawa silibus yang menyeleweng dari luar negara dan tidak mengguna Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar pendidikan.

“Pembela ingin menegaskan pengiktirafan UEC adalah pengkhianatan kepada negara dan berlawanan kehendak raja-raja Melayu kerana bersifat subversi serta meremeh, memperlekeh dan jelas mengesampingkan bahasa kebangsaan terutamanya dalam pendidikan.

“Ini bukan lagi andaian tetapi realiti semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini sebuah portal berita mendakwa UEC bakal diiktiraf oleh pihak kerajaan sebagai tawaran daripada pihak pembangkang.

Tawaran itu dakwanya sebagai syarat sokongan Perjanjian Keyakinan dan Bekalan (CSA) kepada pihak kerajaan pada 14 September 2021 untuk kekal berkuasa.

Dalam pada itu, Aminuddin turut menggesa kerajaan supaya lebih memahami kesan buruk mengiktiraf UEC yang akan melunturkan lagi perpaduan antara kaum di negara ini.

“Sudah dipersetujui sebelum ini formula mengukuhkan perpaduan mesti kembali kepada Dasar Pendidikan Negara yang menekan pengunaan bahasa kebangsaan, kurikulum dan sistem peperiksaan yang selaras.

“Pengiktirafan UEC mewujudkan sijil substandard dan dikendali oleh badan yang sejarah awalnya berkiblatkan kuasa asing dan hingga kini tidak selaras dengan ciri-ciri kenegaraan Malaysia.

“Apakah kerajaan mahu berkompromi dengan mereka yang menolak Dasar Pelajaran Kebangsaan dan menolak sistem pendidikan negara serta menambah kecelaruan yang sedia ada?” soalnya.

Sehubungan itu, Aminuddin menuntut kerajaan supaya kerajaan terus memelihara kedudukan perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Pendidikan Negara dan Dasar Bahasa Kebangsaan.

Tegasnya, pihak kerajaan perlu mengambil serius perihal isu itu kerana ia membawa implikasi besar kepada negara ini.

Pada masa sama, Aminuddin berkata, pihanya turut menuntut kerajaan memberikan jaminan bahawa UEC tidak dijadikan bahan dagangan dalam perjanjian CSA walau apa sekalipun, termasuk di belakang tabir.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here