Pemberian vaksin untuk remaja diberi ketika sesi sekolah dibuka nanti

0
86
Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, program pemberian vaksin kepada remaja berumur 12 hingga 17 tahun akan dilakukan secara serentak dengan pembukaan sesi persekolahan nanti.

Beliau berkata, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dilantik untuk memikul tanggungjawab sebagai penyelaras program vaksinasi kepada remaja.

“Kita sudah bentangkan perancangan vaksinasi kepada remaja semasa sesi mesyuarat dengan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin tengah hari tadi.

“Apa yang kita setuju adalah, serentak dengan proses pembukaan sekolah, kita akan pergiatkan proses pemberian vaksin kepada remaja. Sama ada ia dapat diselesaikan sebelum pengumuman pembukaan sekolah atau tidak, namun jika tidak sempat kita akan tetap meneruskan proses itu.

“Pelbagai kaedah pemberian vaksin dibentangkan dan paling mudah kita berpendapat pelajar ini akan diberikan suntikan vaksin di sekolah,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Dalam pada itu, Khairy berkata, kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk memberi cuti tambahan kepada petugas kesihatan dalam menangani tekanan terhadap mereka ketika membendung wabak Covid-19.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menggerakkan unit psikologi untuk melaksanakan sesi kaunseling kepada mereka yang tertekan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here