Pemilihan Timbalan Speaker ditangguh ke persidangan akan datang

0
35

CYBERJAYA – Pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ditangguhkan ke persidangan akan datang iaitu pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-14 yang dijadual pada bulan hadapan.

Menurut Bernama, pemilihan itu ditangguhkan bagi membolehkan pindaan Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan dibuat untuk menambah jumlah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada dua kepada tiga orang.

Penangguhan itu diusulkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar) di Parlimen, hari ini.

“Kita mungkin akan membuat satu peraturan supaya salah seorang daripada timbalan speaker yang dipilih nanti akan disandang oleh wakil pembangkang,” kata Wan Junaidi ketika mengusulkan penangguhan pemilihan itu.

Usul penangguhan itu diluluskan dengan undian suara apabila lebih suara bersetuju.

Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Dewan Rakyat hendaklah dari semasa ke semasa memilih dua orang Timbalan Yang Dipertua daripada kalangan ahli Dewan Rakyat.

Wan Junaidi berkata, beliau telah berbincang dengan pihak Jabatan Peguam Negara supaya pindaan itu dibawa pada penghujung persidangan kali ini bagi bacaan kali pertama.

Dewan Rakyat sebelum ini mempunyai dua Timbalan Yang Dipertua iaitu Datuk Mohd. Rashid Hasnon dan Datuk Seri Azalina Othman Said, namun Azalina meletak jawatan pada 23 Ogos lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here