Penderma darah dinasihatkan tunggu sehingga tujuh hari selepas vaksin

0
34
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Pusat Darah Negara (PDN) meminta orang ramai yang belum melepasi tempoh tujuh hari selepas menerima vaksin supaya menangguhkan aktiviti derma darah.

PDN dalam kenyataan hari ini berkata, langkah itu diputuskan sebagai langkah berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan penderma dan pesakit yang menderma darah.

Katanya, tempoh tujuh hari itu ditetapkan bagi penerima vaksin yang tidak mengalami kesan sampingan manakala bagi penerima yang mengalami kesan sampingan, tempoh tujuh hari dikenakan selepas sembuh sepenuhnya.

Penangguhan aktiviti derma darah tersebut membabitkan individu yang menerima suntikan vaksin antaranya Pfizer-BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca.

“Garis panduan tersebut selari dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Tempoh penangguhan ini adalah berdasarkan prinsip berjaga-jaga bagi melindungi kesihatan penderma dan pesakit yang menerima darah.

“Kriteria ini adalah untuk memastikan penderma darah berada di tahap kesihatan yang optimum semasa menjalankan aktiviti menderma darah,” katanya.

Dalam kenyataan sama, PDN turut menafikan khbar angin yang mengatakan bekalan darah hospital semakin berkurangan dan berada pada tahap kritikal yang tular dalam mesej WhatsApp.

Jelasnya, maklumat di dalam mesej tersebut adalah tidak benar dan boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan orang ramai.

“Ini adalah kerana penderma darah prihatin tampil secara konsisten bagi membantu pesakit yang memerlukan.

“Trend peningkatan pendermaan darah ini akan memastikan PDN dan tabung-tabung darah mempunyai stok simpanan darah yang mencukupi bagi kegunaan pesakit serta membantu bekalan darah di negeri yang mengalami peningkatan kes Сovid-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here