Penghantar makan dituduh lindungi pesalah trafik

0
99
Kereta yang dipandu pesalah trafik remuk dalam kemalangan maut di Jalan Mahameru, Kuala Lumpur pada 14 Ogos lalu. – Foto ihsan PDRM

CYBERJAYA – Seorang penghantar makanan menjadi orang pertama didakwa atas kesalahan melindungi pesalah trafik yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Mahameru di sini bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komsioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, suspek ditahan di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur kira-kira pukul 7.30 malam Selasa.

Beliau berkata, bagi kes yang disiasat di bawah Seksyen 212 Kanun Keseksaan itu, suspek dituduh di Mahkamah Jalan Duta hari ini.

Katanya, bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga tahun dan dikenakan denda bagi kesalahan di atas.

“Ini merupakan kes pertama di Malaysia bagi penguatkuasaan trafik menuduh pesalah di bawah seksyen tersebut.

“Suspek dan pesalah yang dilarikan masing-masing bekerja sebagai penghantar makanan dan pengawal keselamatan serta kedua-duanya bekerja separuh masa sebagai ‘call man’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian pada 14 Ogos lalu, seorang pekerja pembaikan jalan maut di tempat kejadian manakala dua lagi cedera selepas dilanggar sebuah kereta yang turut melibatkan dua buah lori yang melakukan penurapan di Jalan Mahameru.

Sarifudin menegaskan pihaknya memandang serius perkara ini dan memberi amaran supaya orang ramai tidak sewenang-wenangnya membawa lari individu yang terlibat dengan kemalangan maut dengan tujuan untuk melindungi pesalah tersebut.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat tentang kejadian boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai Polis berhampiran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here