Penutupan Rasa KLCC, bukti keperitan peniaga

0
83
Medan selera popular, Rasa Food Arena yang terletak di tingkat 4 Suria KLCC

CYBERJAYA – Medan selera popular, Rasa Food Arena yang terletak di tingkat 4 Suria KLCC menamatkan operasi hari ini selepas 22 tahun bertapak.

Pengumuman yang tular di media sosial petang ini turut dikongsikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyifatkan sebagai ‘penanda aras’ penderitaan ditanggung peniaga akibat pandemik Covid-19.

“Sekiranya food court di tingkat 4 KLCC yang popular sejak 22 tahun lalu pun terpaksa henti operasi bermula hari ini, apakah nasib warung-warung dan restoran biasa?,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Justeru Najib berkata, kerajaan perlu segera mengambil langkah memulihkan keyakinan rakyat untuk menghidupkan semula sektor ekonomi.

Langkah itu katanya perlu dilakukan dengan memulihkan kemampuan rakyat untuk berbelanja dengan menaikkan kitaran wang tunai dalam ekonomi tempatan iaitu dengan ‘meletakkan wang ke tangan orang ramai’.

“Pulihkan keyakinan Rakyat untuk keluar rumah untuk berbelanja semula. Rakyat tak rasa selamat untuk berjalan-jalan dan makan di luar rumah selagi angka kes Covid masih tinggi biarpun kelonggaran untuk dine-in dah lama diberi.

“Pulihkan kemampuan Rakyat untuk berbelanja dengan menaikkan semula kitaran wang tunai bagi ekonomi tempatan – iaitu putting money into people’s hands.

“Saya harap dan percaya langkah-langkah baharu kerajaan akan diumum tidak lama lagi bagi menepati kedua-dua keperluan ini,” tambahnya.

Rasa Food Arena dalam kenyataan mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia terutama pelanggan medan selera itu atas sokongan selama 22 tahun perkhidmatan mereka.

“Dengan perasaan yang sangat sedih, kami mengumumkan penutupan Rasa Food Arena, Suria KLCC bermula 1 September 2021,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here