Perjalanan rentas negeri akan dibincang esok – Hishammuddin

0
106

CYBERJAYA – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan mengadakan pertemuan dengan tiga rakan Kabinet esok bagi membincangkan penyesuaian prosedur operasi standard (SOP) serta bentuk kelonggaran dalam negara menuju ke fasa endemik.

Kata Hishammuddin, tiga menteri yang akan ditemui ialah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz; dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Menurut portal Astro Awani, Hishammuddin berkata, dalam pertemuan itu, beberapa agenda akan dibincangkan termasuk berkaitan perjalanan rentas negeri, pembukaan sektor-sektor tertentu, gelembung pelancongan dan naratif untuk memasuki fasa endemik.

“Pertama, kita akan lihat kepada keputusan-keputusan kelonggaran yang telah pun diumumkan kepada orang ramai dan bagaimana SOP yang sedia ada dapat dipermudahkan dan difahami.

“Ini memerlukan input daripada keempat-empat menteri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengkoordinasikan input daripada empat pihak ini.

“Tan Sri Annuar Musa boleh bantu untuk ceritakan dan maklumkan kepada orang ramai melalui platform sedia ada,” kata Hishammuddin dalam sidang akhbar di Wisma Pertahanan, hari ini.

Tambah beliau, penelitian juga akan diberikan kepada kelonggaran yang dipersetujui sebelum ini di mana ia perlu diperhalusi sebaiknya sebelum diumumkan kepada orang ramai.

Katanya lagi, agenda untuk memasuki fasa endemik turut diberikan perhatian.

“Dalam konteks endemik, bagaimana kita boleh cari jalan untuk hidup dengan Covid-19 ini. Kita dah umuman bahawa pendekatan ini akan diputuskan pada hujung Oktober.

“Begitupun, pemikirannya perlu dibincangkan daripada sekarang dan itu merupakan sebahagian daripada agenda kita esok,” katanya lagi.

Begitupun, Ahli Parlimen Sembrong itu tidak memperincikan waktu dan lokasi pertemuan tersebut dan hanya memberitahu ia akan diadakan esok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here