Perkhidmatan ERL kembali beroperasi 13 September depan

0
28
Perkhidmatan ERL sebelum ini digantung sejak 4 Jun lalu berikutan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

CYBERJAYA – Perkhidmatan tren KLIA Ekspres dan KLIA Transit akan beroperasi semula secara perkhidmatan bergabung mulai 13 September depan.

Pihak Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL) dalam satu kenyataan kenyataan hari ini memaklumkan, langkah itu adalah susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, yang membenarkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor untuk beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut kenyataan itu lagi, waktu operasi tren adalah dari pukul 6 pagi hingga 10.10 malam setiap hari, dan akan bergerak setiap satu jam sepanjang tempoh operasi, dengan jadual tren akan disesuaikan kemudian mengikut pertambahan jumlah penumpang.

“Sempena pengoperasian semula ini, ERL sekali lagi menawarkan Kad Perjalanan Mingguan Percuma dengan setiap pembelian Kad Perjalanan Bulanan Transit KLIA menggunakan MyKad yang berdaftar.

“Promosi tersebut bermula serta-merta sehingga 30 November ini, bagi menggalakkan lebih ramai penumpang kembali ke pejabat dengan menaiki perkhidmatan awam setiap hari,” kata pihak ERL dalam kenyataan itu.

Sebelum ini, perkhidmatan tren ERL dihentikan sementara waktu bermula 4 Jun lepas berikutan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi susulan pelaksanaan sekatan penuh, selepas mendapat persetujuan Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Sementara itu, kenyataan itu turut memaklumkan, 99 peratus kakitangan ERL, termasuk 100 peratus petugas barisan hadapan dan operasi syarikat itu telah menerima vaksinasi lengkap, dengan hanya segelitir belum berbuat demikian berikutan masalah kesihatan dan perubatan.

“Melalui vaksinasi penuh dan pembersihan harian yang teliti pada tren dan stesen, orang awam tidak perlu risau akan keselamatan mereka dan dapat menikmati pengalaman yang selesa ketika menaiki tren,” kata kenyataan itu lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here