Pesakit Covid-19 kategori tiga yang ada komobid akan dimasukkan ke hospital dan PKRC

0
29
Khairy Jamaluddin

TAMPIN- Pesakit Covid-19 kategori tiga yang mempunyai rekod komobid akan dimasukkan ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, langkah berkenaan bagi membolehkan pesakit mendapat rawatan serta pemantauan daripada doktor dan petugas kesihatan.

Khairy berkata, bagi kes tertentu seperti melibatkan wanita hamil, warga emas dan keadaan rumah pesakit Covid-19 yang tidak sesuai untuk menjalani kuarantin, golongan tersebut turut diberi keutamaan mendapatkan rawatan di hospital.

“Bagaimanapun, bagi pesakit Covid-19 dalam kategori sama tiada komobiditi, KKM (Kementerian Kesihatan) masih menyarankan mereka menjalani kuarantin di rumah.

“Saya mahu ingatkan pesakit yang menjalani kuarantin di rumah perlu sentiasa menggunakan ‘home assessment tool’ dalam MySejahtera dalam usaha menurunkan kadar kematian di luar hospital (BID),” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Beliau berkata, sekiranya keadaan kesihatan merosot dan sukar bernafas, sakit dada atau ketepuan oksigen kurang daripada 95 peratus, pesakit perlu segera menelefon ambulans untuk mendapatkan rawatan susulan di hospital atau PKRC.

Media sebelum ini melaporkan KKM disaran terus memasukkan pesakit Covid-19 kategori tiga ke hospital yang dilengkapi kemudahan ICU dan peralatan penting berbanding membiarkan mereka menjalani kuarantin kendiri.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, beliau memuji usaha proaktif semua pihak serta petugas kesihatan di Negeri Sembilan yang berjaya beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini dengan penurunan kes jangkitan Covid-19 serta proses vaksinasi yang berjalan lancar.

“Penggunaan unit rawatan rapi (ICU), alat pernafasan dan katil hospital Covid-19 berada di bawah paras 70 peratus di negeri ini. Dalam tempoh sebulan lepas, pesakit yang telah dimasukkan ke hospital akibat Covid-19 telah menurun daripada 899 kepada 319 individu sahaja,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here