Pihak berkuasa giat pantau situasi susulan nasihat keselamatan Jepun

0
196
Nasihat keselamatan negara Jepun yang dikeluarkan kepada rakyatnya yang berada di Asia Tenggara.

CYBERJAYA – Pihak berkuasa negara khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat memantau situasi semasa berikutan amaran negara Jepun kepada warganya termasuk di Malaysia mengenai kemungkinan ancaman pengganas di Asia Tenggara.

Menurut Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) dalam satu kenyataan hari ini, pihaknya telah memaklumkan nasihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Jepun kepada pihak berkuasa berkaitan di Malaysia.

“Malaysia terus memperkukuh kerjasama dalam bidang keselamatan, termasuk dalam usaha memerangi keganasan, dengan negara rakan kita di seluruh dunia.

“Perkongsian perisikan dan amalan terbaik adalah komponen penting dalam kerjasama ini,” kata kenyataan itu, hari ini.

Terdahulu, seorang pegawai dari Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur ketika dihubungi Bernama mengesahkan bahawa amaran telah dikeluarkan kepada warganegara Jepun di Malaysia pagi tadi mengenai kemungkinan ancaman pengganas di rantau ini.

Menurut laporan media, Kementerian Luar Jepun telah menasihatkan semua rakyatnya di Indonesia, Filipina, Singapura, Malaysia, Thailand dan Myanmar untuk mengelak berada berdekatan dengan kemudahan keagamaan dan kawasan sesak yang lain.

“Kami mengeluarkan nasihat tersebut selepas menerima arahan dari Tokyo,” kata pegawai itu tanpa memperincikan lebih lanjut.

Pegawai itu berkata, buat masa ini terdapat kira-kira 31,000 warga Jepun tinggal di Malaysia.

Amaran itu memetik laporan perisikan dan kemungkinan terdapat serangan ke atas rumah ibadat dan tempat perhimpunan besar-besaran di rantau ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here