Pihak Imigresen Thailand berjaya tahan Nur Sajat

0
1385
Nur Sajat (kanan) ketika hadir di Mahkamah Majisteret atas 17 pertuduhan memiliki dan menjual keluaran tidak berdaftar serta kosmetik tidak bernotifikasi, beberapa bulan lepas.

CYBERJAYA – Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat dilaporkan sudah ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu.

Menurut Harian Metro, Nur Sajat ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki warga Thailand yang juga berperwatakan wanita ketika serbuan dilakukan.

Laporan itu turut memetik sumber bahawa tangkapan itu adalah berdasarkan maklumat Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dikongsikan kepada pihak berkuasa Thailand.

“Pada 4 Jun, pihak imigresen Thailand mengesan lokasi persembunyian Nur Sajat iaitu di sebuah kondo mewah di tengah Bangkok.

“Selepas risikan dan intipan dilakukan, pada 8 September sekitar jam 6 petang (waktu Thailand) serbuan dilakukan di lokasi persembunyiannya. Hasilnya, Nur Sajat ditahan dan semakan pihak imigresen Thailand mengesahkan dia adalah individu yang melarikan diri serta dikehendaki pihak berkuasa Malaysia. Malah, pasport milik usahawan kosmetik itu juga sudah dibatalkan kerajaan Malaysia,” kata sumber itu.

Nur Sajat kemudiannya dibawa dan ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Cawangan Pembanterasan Pendatang Tanpa Izin Thailand atas kesalahan berkaitan imigresen di negara gajah putih itu.

“Nur Sajat (sudah) didakwa di mahkamah Thailand pada 9 September atas kesalahan itu. Nur Sajat bagaimanapun dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

“Wang itu dibayar oleh seorang kenalannya dikenali sebagai Misha yang dilaporkan terbang ke Thailand untuk urusan jaminan Nur Sajat,” katanya.

Ditanya di manakah Nur Sajat kini berada, sumber itu memaklumkan, Nur Sajat masih berlindung di kondominium mewah di tengah ibu kota Bangkok itu.

“Walaupun dia dibebaskan dengan jaminan, Nur Sajat diarahkan untuk hadir ke pejabat imigresen Thailand setiap 14 hari,” katanya.

Sumber itu turut memaklumkan, pihak berkuasa Malaysia sedang berunding dengan kerajaan Thailand untuk membawa pulang Nur Sajat ke negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here