PM yakin miskin tegar dapat dibasmi menjelang 2025

0
26
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR- Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menaruh keyakinan kemiskinan tegar di negara ini berupaya dibasmi menjelang 2025.

Perdana Menteri berkata, keyakinan itu, menerusi penubuhan unit khusus bagi merungkai isu berkenaan di peringkat Persekutuan dan pejabat daerah.

Katanya,, usaha menangani kemiskinan dan kesenjangan pendapatan wajar dirintis dengan mempelajari kejayaan yang dicapai beberapa negara lain.

“Pendekatan keseluruhan negara harus menjadi sandaran bagi memastikan rakyat miskin termasuk individu yang menetap di bandar dan berdepan kesempitan kewangan berikutan peningkatan kos sara hidup secara ketara dapat dibantu.

“Isu kemiskinan sangat dekat di hati saya. Dilahir dan membesar daripada keluarga penoreh getah, saya sangat memahami kesusahan dan kepayahan hidup rakyat.

“Pandemik Covid-19 yang melanda meningkatkan kadar kemiskinan, menjejaskan pendapatan individu dan isi rumah.

“Isu ini seterusnya menghimpit keluarga kita dalam kemiskinan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk pertubuhan masyarakat sivil (CSO), badan korporat, orang perseorangan dan majlis agama Islam negeri yang sentiasa prihatin dan menyokong kerajaan dalam membantu masyarakat yang terkesan sepanjang pandemik.

“Bagi menangani isu kemiskinan dan kesenjangan pendapatan, kita perlu belajar daripada kejayaan yang dicapai beberapa negara lain. Inisiatif membasmi kemiskinan tegar untuk memastikan rakyat miskin, termasuk miskin bandar dibantu, melalui pendekatan keseluruhan negara.

“Unit khusus pada peringkat Persekutuan dan di pejabat daerah akan ditubuhkan,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), di Dewan Rakyat, hari ini.

Memperincikan mekanisme di sebalik fokus kelima bagi membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan, Ismail Sabri menjelaskan, unit khas berkenaan akan bertanggungjawab menyelaras pangkalan data secara bersepadu serta semua program kerajaan, sektor korporat dan CSO.

Menerusi kaedah itu katanya, pegawai yang diberi tugas khusus akan ditempatkan untuk menguruskan perihal kemiskinan di peringkat daerah, sekali gus berupaya menjamin penyelesaian isu terbabit dalam tempoh empat tahun.

“Kerajaan tidak boleh bersendirian dalam perjuangan ini. Saya meminta sektor korporat dan orang perseorangan untuk membantu Keluarga Malaysia keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Sekecil mana pun bantuan yang dihulurkan, termasuk melalui sumber pembiayaan alternatif seperti zakat dan wakaf, jika digembleng akan membawa manfaat yang besar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here