Polis beri amaran cadang penutupan pusat rekreasi

0
519
Orang ramai membanjiri kawasan perkelahan pada hujung minggu lalu.

KUALA LUMPUR – Polis tidak teragak-agak untuk mencadangkan kepada pihak berkuasa supaya pusat rekreasi ditutup jika terlalu sesak dengan kehadiran orang awam yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan fizikal.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mastor Mohd Ariff berkata, ketika ini pihaknya akan membuat pemantauan pematuhan SOP dari semasa ke semasa terutama di Lembah Klang yang beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), Jumaat lalu.

“Polis menyedari keghairahan orang ramai beriadah di sungai, padang dan pantai terutama membabitkan warga Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya.

“Justeru, polis membuat pemantauan dan hebahan dengan memberi nasihat supaya mereka mematuhi SOP seperti penjarakan fizikal.

“Bagaimanapun, jika keadaan tidak dapat dikawal akibat kesesakan dan pengunjung terlalu ramai, polis tidak teragak-agak untuk mencadangkan supaya pusat rekreasi ditutup,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Semalam, media melaporkan kelonggaran merentas daerah selepas Lembah Klang mula beralih ke Fasa 2 PPN, membuatkan orang ramai mengambil kesempatan melakukan pelbagai aktiviti riadah dan rekreasi.

Kelonggaran diberikan kerajaan itu menyaksikan jalan raya utama di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sesak teruk ekoran orang ramai keluar untuk meluangkan masa bersama ahli keluarga dan kenalan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here