Polis Perak nafi pelajar meninggal dunia akibat vaksin Covid-19

0
96
Gambar Hiasan

IPOH – Dakwaan dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai di Ipoh meninggal dunia akibat vaksin Covid-19 adalah tidak benar.

Perkara berkenaan disahkan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid yang menyifatkan, maklumat yang tular itu juga cukup mengelirukan.

Menurut Mior Faridalathrash, memang ada dua pelajar sekolah berkenaan meninggal dunia tetapi bukan disebabkan oleh vaksin Covid-19.

“Pada 18 Julai lalu, seorang pelajar perempuan meninggal dunia disebabkan positif COVID-19.

“Pelajar itu memang dah sedia ada sakit kencing manis dan darah tinggi yang kronik serta dua bulan kritikal di Hospital Ipoh (Hospital Raja Permaisuri Bainun),” katanya.

Mior Faridalathrash berkata, pada 17 September lalu, seorang pelajar lelaki pula meninggal dunia tetapi disebabkan sakit jantung.

Menurutnya, kedua-dua kejadian itu tiada kena mengena dengan vaksin kerana Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Perak hanya bermula pada 20 September lalu.

Katanya, pihak polis juga akan menjalankan siasatan berhubung video yang tular itu.

Sebelum ini tular di media sosial sejak Selasa, satu video memaparkan seorang wanita mendakwa empat pelajar, termasuk dua pelajar di SMK Tasek Damai meninggal dunia selepas divaksin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here