Polis tahan pegawai kanan SPRM miliki dadah, senjata api dan peluru

0
373
SPRM

CYBERJAYA – Salah seorang pegawai
kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan polis kerana memiliki dadah serta senjata api dan peluru pada Isnin lalu.

Pegawai kanan terbabit adalah salah seorang daripada tiga pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan curi barang kes melibatkan seorang ketua jabatan bernilai RM25 juta (USD 6 juta).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, dua kertas siasatan telah dibuka iaitu Seksyen 8 (a) dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.

Beliau berkata, bagi kesalahan dadah pula, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek ditahan reman  empat hari bermula Selasa lalu sehingga esok bagi siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja peringkat kementerian di Dewan Rakyat, semalam memberitahu, polis sudah membuka kertas siasatan berhubung isu penahanan tiga pegawai SPRM itu.

Siasatan itu dibuat berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.

Kata beliau, pihaknya juga sudah meminta Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM mempercepatkan siasatan kes, selain bersetuju ia diklasifikasi sebagai kes curi.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan laporan polis yang diterima akan disiasat dengan telus mengikut lunas perundangan sedia ada.

Kontroversi membabitkan tiga pegawai SPRM itu terbongkar selepas seorang individu yang disiasat kerana menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan dana pada 2018 menuntut semula wang tunai yang dirampas SPRM.

Ia selepas Individu disiasat terbabit dilepas tanpa bebas oleh mahkamah pada April tahun lalu.

Bagaimanapun, dia terkejut kerana sebahagian daripada wang tersebut didapati wang palsu.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here