Pulau pelancongan utama negara akan dibuka dalam masa terdekat

0
27
Nancy Shukri

CYBERJAYA – Selepas pembukaan sektor Pulau Langkawi, melalui Projek Rintus Gelembung Pelancongan, kerajaan menjangkakan pembukaan Pulau Pangkor, Pulau Tioman dan Pulau Redang dalam masa terdekat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sebagai merancakkan semula industri pelancongan negara, kerajaan akan membuka lebih banyak destinasi pelancongan yang terjejas teruk akibat penularan Covid-19.

Beliau berkata, pemilihan Pulau Langkawi sebagai projek perintis adalah mengambil kira faktor keberadaan lapangan terbang antarabangsa di pulau pelancongan itu.

Katanya, pembukaan Pulau Langkawi juga adalah penanda aras sebelum kerajaan meneliti keputusan untuk membuka semula sempadan negara untuk menerima pelancong luar negara.

“Kementerian sudah gandakan perbincangan dengan pelbagai agensi dan jika berjaya kita akan buka inter state travel (pelancongan antara negeri) sedikit masa lagi.

“Kalau bergantung dengan pelancongan domestik saja kita tidak mampu tapi dengan pembukaan pelancongan antarabangsa dengan Pulau Langkawi akan menjadi projek rintis terlebih dulu untuk Gelembung Pelancongan dengan lengkap dua dos vaksin dan krtiteria lain,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Sementara itu katanya, kerajaan sudah menyediakan pelbagai bantuan bagi meringankan kepayahan penggiat industri pelancongan melalui pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sebelum ini.

“Kementerian sendiri turut melaksanakan inisiatif bukan kewangan untuk membantu syarikat pengendali pelancongan seperti Kelonggaran Berkaitan Kompaun, Pengecualian Fi Kepada Pengusaha Pelancongan dan Kelonggaran Syarat Lesen Kepada Pengusaha Pelancongan,” katanya.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang mahu mengetahui sejauh manakah perhatian diberikan kepada kesengsaraan yang dihadapi oleh industri pelancongan dan sama ada strategi berkesan dilaksanakan untuk menyelamatkan industri ini yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here