Pulau Pinang benarkan mereka yang berumur 18 tahun ke atas ‘walk in’ untuk suntik vaksin

0
9
Antara penerima vaksin COVID-19 menerima suntikan vaksin dalam usaha mencegah penularan wabak berkenaan.

GEORGETOWN – Bermula esok, penduduk Pulau Pinang yang berumur 18 tahun ke atas yang  belum menerima janji temu suntikan vaksin boleh mendapatkan vaksinasi secara ‘walk in’.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, mereka yang berkenaan boleh ke 10 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) negeri bermula pukul 10 pagi namun, perlu memenuhi beberapa syarat.

Katanya, antara syarat tersebut ialah menunjukkan MyKad bagi tujuan pengesahan warganegara, belum berdaftar atau belum menerima janji temu menerusi aplikasi MySejahtera.

“Waktu operasi 10 PPV ini bermula jam 10 pagi. Penduduk dikehendaki mengemaskini aplikasi MySejahtera sebelum ke PPV dan memastikan tidak bergejala, bukan kontak rapat kepada pesakit Covid-19 serta bukan dalam tempoh kuarantin.

“Tempoh masa pengoperasian ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kesulitan dan kesesakan di PPV terbabit. Vaksin diberikan mengikut kaedah ‘siapa datang dulu dia dapat’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, 10 PPV terbabit adalah PPV SPICE CC, PPV Tapak Pesta Sungai Nibong, PPV Kompleks Sukan Balik Pulau, PPV Pusat Konvensyen Perda, PPV Dewan Millenium, PPV SP Arena, PPV Tapak Ekspo Seberang Jaya, PPV Vangohh Eminent, PPV Dewan Sungai Bakap dan PPV Dewan Serbaguna Jawi.

Kon Yeow berkata, berdasarkan rekod Jawatankuasa Jaminan Khas Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), hampir 1.2 juta penduduk Pulau Pinang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin sehingga semalam.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 860,703 penduduk lengkap menerima dua suntikan imunisasi berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here